Tuesday, February 1, 2011

WAKAF DI DALAM ISLAM

Wakaf adalah salah satu amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. Ia merupakan amal soleh yang pahalanya tidak akan putus-putus diberikan Allah kepada pewakaf selama harta yang diwakafkan itu masih kekal dimanfaatkan.

Contoh amalan pada zaman Rasulullah S.A.W adalah apabila Sayidina Umar mewakafkan sebuah ladang yang dihadiahkan kepadanya supaya hasil tanaman dari ladang tersebut dapat dimilikki oleh masyarakat setempat ketika itu. Di satu ketika yang lain pula, Sayidina Uthman b. Affan telah membeli sebuah telaga yang dikenali sebagai telaga Roman yang kemudiannya dijadikan sumber air oleh orang ramai pada ketika itu.

Sejak itu, amalan wakaf terus berkembang, apabila umat Islam mula mewakafkan tanah mereka untuk dijadikan masjid. Oleh kerana masjid adalah sumber ilmu, maka wakaf dikembangkan pula ke pembinaan pusat pengajian, kediaman, kesihatan dan berbagai infrastruktur lain sehinggalah pada hari ini.


DALIL HADIS

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

Maksudnya : Apabila mati seseorang itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang termanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya.

Hadis riwayat Jamaah:

Diberitakan dari Ibnu Umar bahawa Umar mendapat bahagian sebidang tanah di Khaibar. Beliau berkata, "wahai Rasullullah. Saya mendapat sebidang tanah di Khaibar sedangkan saya belum pernah mendapat yang lebih berharga daripada itu. Apa yang sebaiknya saya lakukan?"

Rasullullah S.A.W menjawab, "Bila kamu mahu, kamu sedekahkanlah ia dengan menahan harta itu supaya ia tidak boleh dijual, dibeli atau ditukar hak miliknya."

Lalu Umar menyedekahkan tanah itu kerana Allah. Tanah dan segala hasil daripadanya terus menerus digunakan oleh kaum miskin, karib kerahat, para hamba sahaya, para musafir, orang-orang lemah, dan ibnu sabil.

Amalan Wakaf merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pembinaan jalan dan jambatan, menyediakan sumber bekalan air bagi penduduk setempat, pemberian wang tunai bagi kerja-kerja penyelenggaraan harta wakaf, alat bertani, buku-buku, ilmu dan sebagainya yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment